Perkara itu didedahkan oleh Yang Dipertua PKP,  Samsudin Mohamad Fauzi yang menerima ratusan aduan berhubung penipuan tersebut, namun hanya 18 aduan rasmi yang diterima pihaknya setakat ini melibatkan dua yayasan tersebut.  

 

Katanya, pihaknya pernah mengadakan perjumpaan bersama beberapa individu daripada ejen syarikat yayasan tersebut,  namun,  gagal mencapai sebarang penyelesaian. 

"Lebih mengejutkan apabila kami menjalankan siasatan terperinci mendapati yayasan tersebut bukan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak BNM menyarankan kami membuat pemeriksaan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).  

"Setelah kami mendapat maklum balas pada April tahun lalu,  SKM memaklumkan syarikat (yayasan) tersebut bukanlah sebuah badan koperasi. 

 

"Usaha kami tidak terhenti setakat itu sahaja malah kami membuat semakan di laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)  dan mendapati yayasan tersebut memiliki lesen pemberi pinjam wang dengan status lesen yang masih aktif, " katanya dalam sidang akhbar di Hotel Silka di sini hari ini.  

Sehubungan itu,  timbul tanda tanya dan Samsudin mempertikaikan bagaimana pemotongan gaji penjawat awam dapat dilaksanakan sedangkan entiti yayasan tersebut tidak pernah mendapat kebenaran berbentuk warta atau surat daripada KPKT bagi menggunakan dokumen perniagaan pembiayaan secara syariah.  

"Kita sudah menerima aduan ini sejak dari 2017 dan modus operandi mereka adalah menyasarkan penjawat awam sebagai mangsa. 

"Kenapa penjawat awam boleh tertarik dengan pinjaman yang ditawarkan oleh koperasi tersebut adalah kerana peminjam boleh mendapatkan wang tersebut dalam tempoh tiga hari sahaja.  

"Namun,  jumlah wang pinjaman tidak akan diterima 100 peratus sebaliknya peminjam terperangkap dengan pelbagai caj lain yang dikenakan selain potongan bulanan yang tidak sama seperti tertera dalam slip pembayaran bulanan," jelasnya.  -UTUSAN ONLINE